Pages

Monday, December 24, 2012


Imam Ali (AS): His Personality and knowledge




Rahmat Allah - Huraian Hadis Bab Berharap Pada Allah, Kitab Riyadus Solihin m/s 233-235

Habib Ali Zaenal Abididin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza, 30.11.2012


Rakaman video kuliah ini ada di Majlis Ta'lim 30.11.2012 - Riyadus Solihin

Hadis 7:
Dari ‘Umar bin Khattab r.a. berkata: “Beberapa orang tawanan  di hadapkan kepada Rasulullah, di situ ada seorang perempuan yang bingung mencari anaknya, dan setiap ia melihat anak kecil dalam rombongan tawanan itu diangkatnya dan disusukannya. Kemudian Rasulullah SAW bertanya, “Adakah kamu sekalian berpendapat bahawa perempuan ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?” Kami menjawab, “Demi Allah, tidak”. Baginda bersabda, “Allah itu lebih sayang kepada hamba-hambaNya melebihi sayangnya perempuan ini kepada anaknya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis 8:
Dari Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Ketika Allah menciptakan makhluk, Ia menulis pada suatu kitab, yang mana kitab itu berada di sisi-Nya di atas ‘Arasy, yaitu tulisan yang berbunyi: Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan murka-Ku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis 9:
Dari Abu Hurairah ra berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Allah menjadikan rahmat itu 100 bahagian, yang 99 Ia tahan disisi-Nya, dan yang 1 bahagian diturunka ke permukaan bumi. Daripada 1 bahagian itulah semua makhluk berkasih-sayang sehingga binatang itu mengangkat kakinya kerana khuatir kalau-kalau terpijak anaknya”.

Dalam riwayat lain dikatakan: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai 100 rahmat dan Ia turunkan 1 di antara 100 rahmat itu untuk semua jin, manusia, binatang dan serangga di mana dengan satu rahmat itulah mereka saling berkasih-sayang, dan dengan 1 rahmat itulah binatang buas mempunyai rasa kasih-sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat yang  99 itu Allah simpan untuk diberi nanti pada hari kiamat sebagai rasa kasih-sayang terhadap hamba-hamba-Nya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dan Salman Al-Farisi ra berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai rahmat 100, 1 di antaranya iaitu rahmat yang menjadikan makhluk itu sayang-menyayangi. Dan yang 99 nanti akan diturunkan pada hari kiamat”.

Dalam riwayat lain dikatakan: “Sesungguhnya ketika Allah Ta’ala menciptakan langit dan bumi, Allah menciptakan pula 100 rahmat di mana masing-masing rahmat itu memenuhi antara langit dan bumi. Kemudian Allah menjadikan 1 daripadanya sebagai rahmat di muka bumi ini, di mana dengan 1 rahmat itulah seseorang ibu mempunyai rasa kasih sayang terhadap anaknya; demikian juga binatang dan burung yang mana salah seeekor di antaranya mempunyai rasa kasih terhadap yang lain. Bila hari kiamat tiba, maka dilengkapkanlah rahmat ini”.

Huraian:
Ketiga-tiga hadis di atas menceritakan luasnya rahmat Allah dan kita dituntut untuk melihat rahmat Allah melalui rahmatnya makhluk. Beberapa contoh yang diberikan ialah: Seekor haiwan yang mengelak dirinya daripada memijak anaknya – perasaan itu tidak sepatutnya dilihat sebagai perasaan tabii haiwan itu tetapi itu adalah serpihan kasih sayang Allah yang diberi kepada haiwan itu. Sepatutnya, apabila melihat apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita – kembalikan pandangan itu kepada Allah. Jangan terhenti kepada kejadian makhluk itu. Apabila kita melihat Allah melalui makhluknya, barulah iman akan semakin tinggi dan mantap.

Ketika Nabi Sulaiman berjalan bersama tenteranya dan semut berkata: “Wahai semut, masuk ke dalam rumahmu supaya kamu tak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya”. Semut yang menyeru itu pun adalah kerana adanya perasaan rahmat (kasih-sayang) kepada saudara-saudara semutnya. Perasaan kasih-sayang itu adalah kurniaan Allah. Apabila seseorang menggunakan akal, mata dan telinganya untuk melihat bahawa segala apa yang ada disekelilingnya merupakan serpihan rahmat Allah, maka akan bertambah keyakinan dan kefahaman bahawa luasnya rahmat Allah mengatasi kemurkaan Allah.


Orang yang paling banyak menerima rahmat Allah adalah orang yang paling banyak mengasihi orang lain. Ketika berkhutbah, Nabi SAW melihat Hasan yang ketika itu baru sahaja boleh berjalan, keluar dari rumahnya. Nabi SAW pun turun dari mimbar dan pergi mendukung cucunya, dan dibawa ke mimbarnya. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Maha Benar Allah dalam firmannya - 'Sesungguhnya harta dan anak-anak kamu adalah merupakan fitnah(dugaan, ujian) daripada Allah SWT'.  Aku ingin berkhutbah tetapi apabila ternampak cucuku ini, aku tidak dapat mengawal perasaan kasih-sayangku ini sehingga aku mengambil dan mendukungnya sehingga ke mimbar”. Inilah contoh perasaan kasih-sayang yang Allah kurniakan kepada makhluknya termasuk manusia.


Nabi SAW selalu menunjukkan perasaan kasih-sayangnya kepada cucu-cucunya, walaupun perkara itu tidak  biasa dilakukan oleh orang Arab ketika itu. Baginda pernah berkata, “Hasan dan Husin adalah anak-anakku, walaupun mereka bukan daripada sulbiku”. Ketika solat pun Nabi SAW mengangkat mereka. Pernah berlaku ketika sujud dalam solat berjemaah, Husin naik ke atas belakang baginda Nabi SAW, dan baginda sujud sangat lama sehingga sahabat mulai risau. Nabi SAW tidak pernah sujud selama itu untuk solat fardhu. Setelah Husin turun barulah Nabi SAW bangkit daripada sujud. Selesai solat, Nabi menceritakan bahawa baginda tidak mahu bangun daripada sujud kerana risau akan  cucunya itu terjatuh.

Bahkan, Anas bin Malik menceritakan yang beliau melihat Hasan menunggang Nabi SAW di atas belakangnya. Anas pun berkata Hasan, “Ya Hasan, sebaik-baik tunggangan ialah apa yang kamu tunggangi itu”. Jawab Rasul SAW pula: “Sebaik-baik orang yang menunggangnya adalah dia, Ya Anas”. Demikianlah keadaan Rasulullah SAW bermain dengan cucu-cucunya dengan penuh kasih-sayang. Ada seorang sahabat datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, aku ada sepuluh orang anak tetapi tak seorang pun yang aku cium”. Nabi SAW pun berkata, “Orang yang tak mengasihi, tak akan dikasihi oleh Allah SWT. Orang-orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Yang Maha Pengasih dan dikasihi oleh semua yang ada di bumi dan di langit”.

Oleh kerana adanya rahmat kasih sayang Allah, seekor ayam mengembangkan sayap untuk melindungi anaknya ketika hujan, burung terbang ke sana ke mari untuk mencari makanan buat anaknya. Perbuatan haiwan ini bukanlah berlaku secara semulajadi sahaja. Semuanya adalah kerana rahmat yang dikurniakan Allah Ta’ala. Oleh itu, apabila melihat perbuatan kasih-sayang haiwan, jangan tengok saja, tetapi ingatlah kepada pada rahmat Allah. Rahmat Allah tak terhad pada makhluk yang bernyawa bahkan kepada makhluk lain seperti alam, gunung-ganang. Contohnya: Gunung Uhud pun mencintai Nabi SAW.

Untuk mengetahui sejauh mana Allah merahmati kita, lihat sejauh mana kita mengasihi manusia lain. Orang yang tak mengasihi, juga tak akan dikasihi. Diceritakan bahawa ada seorang wanita solehah tapi menzalimi seeokor kucing dengan tidak memberinya makanan. Oleh kerana itu, Allah campak dia ke dalam neraka. Allah tidak pandang ibadatnya kerana dalam hatinya tiada perasaan kasih-sayang.

Segala kasih-sayang yang ada di dunia ini – antara ibu dan anaknya, antara sahabat-handai, antara jiran-jiran, haiwan sesama haiwan dan seumpamanya – semuanya itu hanyalah 1 daripada 99 rahmat yang Allah miliki. Jika 1 pun sudah sebegitu banyak, jika 99 rahmat pula, bagaimana agaknya rupanya? Pastilah luar biasa. Oleh itu, rebutlah peluang untuk mendapatkan 99 rahmat yang Allah janjikan untuk orang-orang beriman di akhirat nanti.

tulisan  ... http://keranakasihnabi.blogspot.sg/2012/12/rahmat-allah-huraian-hadis-bab-berharap.html

Sholat Istikharah


Solat Istikharah (2) – Tanyalah Ustaz 06.10.2012

Ustaz Muhamad Abdullah (Ustaz Amin)




Istikharah bermaksud meminta pilihan daripada Allah Taala. Kata Jabir bin Abdullah: "Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran". Dalam hidup ini kita akan berdepan dengan pelbagai pilihan dan kita tidak tahu mana yang terbaik. Oleh itu, kita perlu memohon bantuan memilih daripada Allah. Hari ini akan dibincangkan kaifiat (kaedah) mengerjakan solat istikharah. Ada tujuh langkah semuanya iaitu:
  • Jangan dirikan ketika waktu haram iaitu selepas solat Subuh sehingga terbit matahari (waktu syuruk) dan selepas mendirikan solat asar sehingga masuk waktu maghrib. Solat sunat istikharah tidak semestinya dilakukan pada waktu malam sahaja.
  • Istikharah mesti dibuat untuk perkara yang dibenarkan syarak sahaja  (perkara wajib dan sunat), bukan perkara haram atau makruh. Contoh perkara harus: untuk berhenti kerja atau meneruskan kerja. Contoh perkara haram: nak pukul orang.
  • Menyediakan hati untuk berserah kepada Allah dan menerima pilihan Allah. Dalam doa istikharah yang diajar Nabi SAW, dihujungnya ada disebut agar kita memohon kekuatan hati untuk mengikut apa yang Allah tunjukkan. Kadang-kala kita sudah diberi petunjuk, tetapi hati kita berat untuk mengikutinya.
  • Jaga syarat sah solat iaitu: menghadap kiblat, tempat solat dan diri bersih daripada najis, suci daripada hadas kecil dan besar dan tutup aurat dengan sempurna. Sedikit panduan cara mandi wajib - perlu niat dan meratakan air keseluruh badan. Untuk meratakan air ke seluruh badan perlu dijaga (dimasukkan air untuk melaluinya) 8 lubang iaitu hidung, telinga, mulut, pusat, qubul, dubur, kuku dan daging lebihan atau lubang bertindik (jika ada). Oleh itu, ketika mandi wajib, seseorang perlu cangkung untuk memastikan air betul-betul melalui seluruh tubuh, terutamanya 8 lubang yang disebutkan. Jika tidak berhati-hati dikhuatiri yang mandi wajib tidak sah. 
  • Jaga rukun solat – niat, rukun qauli (takbiratul ihram, fatihah, tahiyat dan salam) perbuatan (fi’li). Solat dengan tenang, jangan kelam kabut.
  • Melakukan perkara sunat dalam solat seperti membaca surah. Ulama mencadangkan membaca surah Al-Kafirun pada rakaan pertama, dan surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua. Ada juga pendapat lain menyatakan baca surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali pada setiap rakaat untuk mendapatkan fadhilat mengkhatam Al-Quran.
  • Berdoa – Nabi SAW ada mengajarkan doa istikharah, tetapi doanya panjang. InsyaAllah akan saya letak diwww.ustazamin.com. Jika tidak mampu untuk membaca doa bahasa Arab, boleh juga berdoa dalam bahasa Melayu. Nyatakan secara spesifik perkara yang ingin dipilih – contohnya nak masuk sekolah A atau B, nak kahwin dengan C atau D. Di hujung doa, Nabi SAW mengajar agar kita memohon kekuatan sekiranya perkara yang dimohon itu tidak bagus untuk kita, memohon dijauhkan daripada perkara tersebut dan diberi kebaikan sentiasa.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah tawakkal merupakan satu bentuk istikharah?
J: Tawakkal merupakan sebagian daripada istikharah, iaitu di mana setelah mana mendapat petunjuk, kita perlu bertawakkal dengan pilihan yang diambil.

S: Jika tidak boleh solat selepas Subuh, bagaimana dengan solat sunat Dhuha?
J: Boleh solat selepas syuruk iaitu selepas waktu matahari terbit. Solat sunat Dhuha dilakukan setelah matahari tinggi segalah atau 28 minit selepas matahari terbit.

S: Bagaimana nak tidur dalam keadaan wudhuk sedangkan bersentuhan dengan suami selepas itu?
J: Dari segi hukum, memang batal, tetapi dari segi fadhilatnya tetap diberikan pahala kerana berusaha untuk mengikut sunnah Nabi SAW.

S: Kadang-kadang hati rasa ragu-ragu untuk membeli barang di pasar atau kedai, adakah itu satu bentuk petunjuk?
J: Terbaik adalah kerjakan solat istikharah, tetapi takut tak sempat. Oleh itu, kita perlu jaga solat agar Allah bantu kita melalui firasat atau rasa hati. Kebiasaannya isteri dan ibu mempunyai firasat hati yang lebih baik berbanding dengan orang lelaki. Tetapi pastikan firasat itu tidak membawa kepada buruk sangka.

S: Adakah satu solat istikharan untuk satu masalah saja atau boleh beberapa masalah?
J: Boleh untuk beberapa masalah sekaligus.

S: Jika kita mempunyai 2 pilihan tetapi masa terhad dan terpaksa membuat pilihan segera sebelum mendapat petunjuk. Setelah memilih, adakah kita masih perlukan melakukan solat istikharah sedangkan kita sudah membuat pilihan?
J: Jika kita masih ragu-ragu, boleh teruskan solat istikharah.

S: Apa pandangan ustaz bagi orang yang tidak sabar menunggu petunjuk setelah mengerjakan solat dan pergi berjumpa bomoh?
J: Semalam telah dibincangkan bahawa Allah sebut 2 kali agar kita bersabar dan mengerjakan solat. Oleh itu, jangan terburu-buru sehingga melakukan perbuatan yang Allah larang.

Kesilapan IbuBapa Terhadap anak

Tanylah Ustaz  28.11.12 (Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek



Allah bersumpah dengan mahkluk yang dinamakan masa. Allah mampu memberhentikan, mempercepatkan atau melambatkan masa. Kita semua dalam kerugian kecuali jiak kita saling menegur ke arah keabaikan. Tetapi, dalam menegur pasti ada risikonya. Oleh sebab itulah, ayat seterusnya dikatakan agar manusia berpesan dengan kesabaran. Jadi ibu bapa perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.

Ibu bapa boleh derhaka kerana mereka kurang berilmu. Oleh itu, setiap ibu bapa perlu mencari ilmu keibubapaan. Ibu bapa perlu menjadi ibu bapa yang membantu setiap anaknya menjadi manusia yang baik.




Ibu bapa kita dahulu banyak berpesan kepada anak-anaknya agar jangan menjadi anak yang derhaka, agar rajin belajar dan mencapai kejayaan yang cemerlang. Nasihat-nasihat sebegini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri anak-anak.



Senarai soalan dan jawapan:
S: Ada ibu bapa yang membezakan kasih sayang antara anak-anak mereka. Bagaimana pandangan ustaz?
J: Betul, ada banyak berlaku begitu. Pilih kasih hukumnya berdosa. Ibu bapa harus beri perhatian dan kasih sayang yang sama rata kepada semua anak. Betul, kita mungkin sayang lebih kepada salah seorang antara mereka, tetapi kita tidak boleh menzahirkannya di hadapan anak yang lain kerana mereka boleh terasa dan berkecil hati. Biarlah kita doakan anak yang disayangi itu lebih daripada yang lain. Katakan kita ada anak yang pandai dan kurang pandai. Anak yang pandai kita puji-puji dan yang kurang pandai pula kita keji. Anak yang pandai itu pun belajar tinggi sehingga ke luar negara dan mendapat pekerjaan yang baik sehinggakan sibuk untuk pulang ke kampung untuk melawat kita. Dek kerana kelulusan anak tidak pandai yang rendah, dia kerja di kampung dan ketika kita sakit, anak itulah yang akan menjaga kita nanti. Anak yang pernah buat silap memerlukan lebih perhatian daripada ibu bapa untuk memperbetulkan mereka semula. Ibu bapa jangan cepat menghukum anaknya derhaka, kerana ibu bapa juga boleh derhaka kepada anaknya terlebih dahulu. Inilah kisah yang berlaku ketika zaman Umar apabila seorang ayah mengadu perihal anaknya yang derhaka. Apabila anaknya dipanggil, didapati ayahnya yang lebih dahulu derhaka kepadanya kerana memberikan nama yang tidak baik kepadanya, mengahwini ibu yang tidak baik (rendah akhlaknya) dan tidak memberi pendidikan agama kepadanya.

S: Bagaimana dengan sikap ibu bapa yang suka memaki-hamun anak-anaknya?
J: Anak-anak lebih mudah mengikut apa yang ditunjukkan ibu bapa, bukannya apa yang diucapkan mereka. Jangan bertengkar di hadapan anak-anak atau di hadapan mertua. Lebih elok, elakkan bertengkar kerana kebiasaanya puncanya adalah kerana salah-faham. Bawalah berbincang. Pilih masa yang sesuai untuk berbincang. Dalam setiap perbuatan, ibu bapa perlu ingat bahawa anak akan meniru apa yang ditunjukkan mereka.

S: Adakah makanan yang kita masak atau beli menyebabkan anak jadi degil?
J: Karbohidrat (nasi, roti dsn) boleh menyebabkan anak menjadi terlalu aktif atau mengantuk. Ajar anak makan sedikit. Elakkan juga mengajar anak minum air berkarbonat yang mengandungi ‘radical sugar’. ‘Radical sugar’ boleh membuatkan seseorang itu agresif dan ‘violent’ atau pendiam tapi pendendam. Jangan ajar anak makan ‘jajan’. Ibu bapa perlu pastikan juga yang sumber rezekinya adalah yang halal sahaja. Ajar anak makan makanan sunnah seperti kurma, kismis dan madu.

S: Adakah penting makan malam bersama anak-anak?
J: Ya, Nabi SAW sendiri makan dahulu bersama isterinya sebelum waktu Maghrib. Oleh itu, kita perlu amalkan makan bersama dan galakkan bersembang ketika itu agar boleh mengeratkan silaturrahim.

S: Ibu bapa memang sayangkan anak, tetapi mereka susah untuk mengungkapkannya? Mohon pandangan ustaz?
J: Memang begitu keadaan masyarakat. Jangan jadi ibu bapa yang kedekut mengucapkan kasih sayang kepada anak-anak. Sepatutnya diperbanyakkan ucapan sayang kepada anak-anak. Jika simpan dalam hati siapalah yang tahu. Manusia dahagakan ucapan kasih sayang lebih daripada dahagakan seteguk air.

S: Bagaimana untuk menjaga agar anak kita yang terdidik baik daripada mengikuti cara anak-anak yang tidak dididik baik oleh ibu bapa mereka?
J: Itulah keperluan untuk ‘menyuntik’ anak-anak kita dengan pengetahuan dosa dan pahala semenjak mereka kecil. Banyakkan kisah-kisah para Nabi, para sahabat yang membawa mesej yang baik kepada mereka. Ajar anak meminta kebenaran sebelum keluar daripada rumah. Beri alasan yang baik jika ibu bapa perlu menolak permintaan anak agar mereka faham.

S: Bagaimana untuk menegur anak orang lain yang kurang terdidik? Jika ditegur, ibu bapanya melenting. Jika dibiarkan, takut pula mempengaruhi anak kita.
J: Jika begitu, tak perlu tegur, tetapi doakan ibu bapa dan anak itu selalu. ‘Do more connection, less correction’. Cubakan berbaik-baik dahulu dengan ibu bapanya, dan kemudian sedikit demi sedikit pujuk ibu bapanya secara tidak langsung untuk mendidik anaknya dengan lebih baik. Jika hati sudah sayang, seseorang akan lebih mudah menerima nasihat dan pandangan orang yang disayanginya.

S: Pada musim cuti sekolah, didapati ramai anak-anak yang merayau-rayau dan menghabiskan masa begitu sahaja. Adakah ini kesilapan ibu bapa?
J: Betul, ibu bapa kurang mengurus aktiviti anak-anak ketika bercuti. Ketika ini, masjid dan surau boleh mengambil peranan dan mengadakan pertandingan seperti sukan, hafalan, azan dan sebagainya. Ini akan membolehkan mereke menyibukkan diri berlatih dan masa pun akan terisi dengan baik. Anak-anak boleh juga dihantar ke kem-kem motivasi agar dapat lebih mendekatkan diri kepada Allah. Jangan biarkan anak-anak asyik tengok TV atau berinternet sahaja. Alternatif yang lebih murah, hantar anak balik kampung dan merasai kehidupan di kampung. Biarkan mereka membantu atuk dan neneknya bercucuk-tanam, mandi sungai, pergi surau dan sebagainya. Jika ada kemampuan kewangan, bawa anak-anak berjalan. Ibu bapa perlu mengenalkan kepada anak-anak dunia luar juga seperti wayang, taman-tema hiburan yang nyatakan yang perkara itu tidak elok. Jika tidak, mereka akan dikenalkan kepada perkara itu oleh rakan-rakan mereka. Oleh itu, amat penting ibu bapa yang terlebih dahulu mengenalkan dan memberitahu kebaikan dan keburukan sesuatu benda.

http://keranakasihnabi.blogspot.sg/2012/11/kesilapan-ibu-bapa-terhadap-anak.html