Rahmat Allah - Huraian Hadis Bab Berharap Pada Allah, Kitab Riyadus Solihin m/s 233-235
Habib Ali Zaenal Abididin Abu Bakar Al-Hamid
Majlis Ta'lim Darul Murtadza, 30.11.2012
Rakaman video kuliah ini ada di Majlis Ta'lim 30.11.2012 - Riyadus Solihin
Hadis 7:
Dari ‘Umar bin Khattab r.a. berkata: “Beberapa orang tawanan di hadapkan kepada Rasulullah, di situ ada seorang perempuan yang bingung mencari anaknya, dan setiap ia melihat anak kecil dalam rombongan tawanan itu diangkatnya dan disusukannya. Kemudian Rasulullah SAW bertanya, “Adakah kamu sekalian berpendapat bahawa perempuan ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?” Kami menjawab, “Demi Allah, tidak”. Baginda bersabda, “Allah itu lebih sayang kepada hamba-hambaNya melebihi sayangnya perempuan ini kepada anaknya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis 8:
Dari Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Ketika Allah menciptakan makhluk, Ia menulis pada suatu kitab, yang mana kitab itu berada di sisi-Nya di atas ‘Arasy, yaitu tulisan yang berbunyi: Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan murka-Ku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis 9:
Dari Abu Hurairah ra berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Allah menjadikan rahmat itu 100 bahagian, yang 99 Ia tahan disisi-Nya, dan yang 1 bahagian diturunka ke permukaan bumi. Daripada 1 bahagian itulah semua makhluk berkasih-sayang sehingga binatang itu mengangkat kakinya kerana khuatir kalau-kalau terpijak anaknya”.
Dalam riwayat lain dikatakan: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai 100 rahmat dan Ia turunkan 1 di antara 100 rahmat itu untuk semua jin, manusia, binatang dan serangga di mana dengan satu rahmat itulah mereka saling berkasih-sayang, dan dengan 1 rahmat itulah binatang buas mempunyai rasa kasih-sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat yang 99 itu Allah simpan untuk diberi nanti pada hari kiamat sebagai rasa kasih-sayang terhadap hamba-hamba-Nya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dan Salman Al-Farisi ra berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai rahmat 100, 1 di antaranya iaitu rahmat yang menjadikan makhluk itu sayang-menyayangi. Dan yang 99 nanti akan diturunkan pada hari kiamat”.
Dalam riwayat lain dikatakan: “Sesungguhnya ketika Allah Ta’ala menciptakan langit dan bumi, Allah menciptakan pula 100 rahmat di mana masing-masing rahmat itu memenuhi antara langit dan bumi. Kemudian Allah menjadikan 1 daripadanya sebagai rahmat di muka bumi ini, di mana dengan 1 rahmat itulah seseorang ibu mempunyai rasa kasih sayang terhadap anaknya; demikian juga binatang dan burung yang mana salah seeekor di antaranya mempunyai rasa kasih terhadap yang lain. Bila hari kiamat tiba, maka dilengkapkanlah rahmat ini”.
Huraian:
Ketiga-tiga hadis di atas menceritakan luasnya rahmat Allah dan kita dituntut untuk melihat rahmat Allah melalui rahmatnya makhluk. Beberapa contoh yang diberikan ialah: Seekor haiwan yang mengelak dirinya daripada memijak anaknya – perasaan itu tidak sepatutnya dilihat sebagai perasaan tabii haiwan itu tetapi itu adalah serpihan kasih sayang Allah yang diberi kepada haiwan itu. Sepatutnya, apabila melihat apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita – kembalikan pandangan itu kepada Allah. Jangan terhenti kepada kejadian makhluk itu. Apabila kita melihat Allah melalui makhluknya, barulah iman akan semakin tinggi dan mantap.
Ketika Nabi Sulaiman berjalan bersama tenteranya dan semut berkata: “Wahai semut, masuk ke dalam rumahmu supaya kamu tak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya”. Semut yang menyeru itu pun adalah kerana adanya perasaan rahmat (kasih-sayang) kepada saudara-saudara semutnya. Perasaan kasih-sayang itu adalah kurniaan Allah. Apabila seseorang menggunakan akal, mata dan telinganya untuk melihat bahawa segala apa yang ada disekelilingnya merupakan serpihan rahmat Allah, maka akan bertambah keyakinan dan kefahaman bahawa luasnya rahmat Allah mengatasi kemurkaan Allah.
Orang yang paling banyak menerima rahmat Allah adalah orang yang paling banyak mengasihi orang lain. Ketika berkhutbah, Nabi SAW melihat Hasan yang ketika itu baru sahaja boleh berjalan, keluar dari rumahnya. Nabi SAW pun turun dari mimbar dan pergi mendukung cucunya, dan dibawa ke mimbarnya. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Maha Benar Allah dalam firmannya - 'Sesungguhnya harta dan anak-anak kamu adalah merupakan fitnah(dugaan, ujian) daripada Allah SWT'. Aku ingin berkhutbah tetapi apabila ternampak cucuku ini, aku tidak dapat mengawal perasaan kasih-sayangku ini sehingga aku mengambil dan mendukungnya sehingga ke mimbar”. Inilah contoh perasaan kasih-sayang yang Allah kurniakan kepada makhluknya termasuk manusia.
Nabi SAW selalu menunjukkan perasaan kasih-sayangnya kepada cucu-cucunya, walaupun perkara itu tidak biasa dilakukan oleh orang Arab ketika itu. Baginda pernah berkata, “Hasan dan Husin adalah anak-anakku, walaupun mereka bukan daripada sulbiku”. Ketika solat pun Nabi SAW mengangkat mereka. Pernah berlaku ketika sujud dalam solat berjemaah, Husin naik ke atas belakang baginda Nabi SAW, dan baginda sujud sangat lama sehingga sahabat mulai risau. Nabi SAW tidak pernah sujud selama itu untuk solat fardhu. Setelah Husin turun barulah Nabi SAW bangkit daripada sujud. Selesai solat, Nabi menceritakan bahawa baginda tidak mahu bangun daripada sujud kerana risau akan cucunya itu terjatuh.
Bahkan, Anas bin Malik menceritakan yang beliau melihat Hasan menunggang Nabi SAW di atas belakangnya. Anas pun berkata Hasan, “Ya Hasan, sebaik-baik tunggangan ialah apa yang kamu tunggangi itu”. Jawab Rasul SAW pula: “Sebaik-baik orang yang menunggangnya adalah dia, Ya Anas”. Demikianlah keadaan Rasulullah SAW bermain dengan cucu-cucunya dengan penuh kasih-sayang. Ada seorang sahabat datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, aku ada sepuluh orang anak tetapi tak seorang pun yang aku cium”. Nabi SAW pun berkata, “Orang yang tak mengasihi, tak akan dikasihi oleh Allah SWT. Orang-orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Yang Maha Pengasih dan dikasihi oleh semua yang ada di bumi dan di langit”.
Oleh kerana adanya rahmat kasih sayang Allah, seekor ayam mengembangkan sayap untuk melindungi anaknya ketika hujan, burung terbang ke sana ke mari untuk mencari makanan buat anaknya. Perbuatan haiwan ini bukanlah berlaku secara semulajadi sahaja. Semuanya adalah kerana rahmat yang dikurniakan Allah Ta’ala. Oleh itu, apabila melihat perbuatan kasih-sayang haiwan, jangan tengok saja, tetapi ingatlah kepada pada rahmat Allah. Rahmat Allah tak terhad pada makhluk yang bernyawa bahkan kepada makhluk lain seperti alam, gunung-ganang. Contohnya: Gunung Uhud pun mencintai Nabi SAW.
Untuk mengetahui sejauh mana Allah merahmati kita, lihat sejauh mana kita mengasihi manusia lain. Orang yang tak mengasihi, juga tak akan dikasihi. Diceritakan bahawa ada seorang wanita solehah tapi menzalimi seeokor kucing dengan tidak memberinya makanan. Oleh kerana itu, Allah campak dia ke dalam neraka. Allah tidak pandang ibadatnya kerana dalam hatinya tiada perasaan kasih-sayang.
Segala kasih-sayang yang ada di dunia ini – antara ibu dan anaknya, antara sahabat-handai, antara jiran-jiran, haiwan sesama haiwan dan seumpamanya – semuanya itu hanyalah 1 daripada 99 rahmat yang Allah miliki. Jika 1 pun sudah sebegitu banyak, jika 99 rahmat pula, bagaimana agaknya rupanya? Pastilah luar biasa. Oleh itu, rebutlah peluang untuk mendapatkan 99 rahmat yang Allah janjikan untuk orang-orang beriman di akhirat nanti.
tulisan ... http://keranakasihnabi.blogspot.sg/2012/12/rahmat-allah-huraian-hadis-bab-berharap.html
No comments:
Post a Comment