Pages

Monday, December 24, 2012

Sholat Istikharah


Solat Istikharah (2) – Tanyalah Ustaz 06.10.2012

Ustaz Muhamad Abdullah (Ustaz Amin)




Istikharah bermaksud meminta pilihan daripada Allah Taala. Kata Jabir bin Abdullah: "Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran". Dalam hidup ini kita akan berdepan dengan pelbagai pilihan dan kita tidak tahu mana yang terbaik. Oleh itu, kita perlu memohon bantuan memilih daripada Allah. Hari ini akan dibincangkan kaifiat (kaedah) mengerjakan solat istikharah. Ada tujuh langkah semuanya iaitu:
  • Jangan dirikan ketika waktu haram iaitu selepas solat Subuh sehingga terbit matahari (waktu syuruk) dan selepas mendirikan solat asar sehingga masuk waktu maghrib. Solat sunat istikharah tidak semestinya dilakukan pada waktu malam sahaja.
  • Istikharah mesti dibuat untuk perkara yang dibenarkan syarak sahaja  (perkara wajib dan sunat), bukan perkara haram atau makruh. Contoh perkara harus: untuk berhenti kerja atau meneruskan kerja. Contoh perkara haram: nak pukul orang.
  • Menyediakan hati untuk berserah kepada Allah dan menerima pilihan Allah. Dalam doa istikharah yang diajar Nabi SAW, dihujungnya ada disebut agar kita memohon kekuatan hati untuk mengikut apa yang Allah tunjukkan. Kadang-kala kita sudah diberi petunjuk, tetapi hati kita berat untuk mengikutinya.
  • Jaga syarat sah solat iaitu: menghadap kiblat, tempat solat dan diri bersih daripada najis, suci daripada hadas kecil dan besar dan tutup aurat dengan sempurna. Sedikit panduan cara mandi wajib - perlu niat dan meratakan air keseluruh badan. Untuk meratakan air ke seluruh badan perlu dijaga (dimasukkan air untuk melaluinya) 8 lubang iaitu hidung, telinga, mulut, pusat, qubul, dubur, kuku dan daging lebihan atau lubang bertindik (jika ada). Oleh itu, ketika mandi wajib, seseorang perlu cangkung untuk memastikan air betul-betul melalui seluruh tubuh, terutamanya 8 lubang yang disebutkan. Jika tidak berhati-hati dikhuatiri yang mandi wajib tidak sah. 
  • Jaga rukun solat – niat, rukun qauli (takbiratul ihram, fatihah, tahiyat dan salam) perbuatan (fi’li). Solat dengan tenang, jangan kelam kabut.
  • Melakukan perkara sunat dalam solat seperti membaca surah. Ulama mencadangkan membaca surah Al-Kafirun pada rakaan pertama, dan surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua. Ada juga pendapat lain menyatakan baca surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali pada setiap rakaat untuk mendapatkan fadhilat mengkhatam Al-Quran.
  • Berdoa – Nabi SAW ada mengajarkan doa istikharah, tetapi doanya panjang. InsyaAllah akan saya letak diwww.ustazamin.com. Jika tidak mampu untuk membaca doa bahasa Arab, boleh juga berdoa dalam bahasa Melayu. Nyatakan secara spesifik perkara yang ingin dipilih – contohnya nak masuk sekolah A atau B, nak kahwin dengan C atau D. Di hujung doa, Nabi SAW mengajar agar kita memohon kekuatan sekiranya perkara yang dimohon itu tidak bagus untuk kita, memohon dijauhkan daripada perkara tersebut dan diberi kebaikan sentiasa.

Senarai soalan dan jawapan:
S: Adakah tawakkal merupakan satu bentuk istikharah?
J: Tawakkal merupakan sebagian daripada istikharah, iaitu di mana setelah mana mendapat petunjuk, kita perlu bertawakkal dengan pilihan yang diambil.

S: Jika tidak boleh solat selepas Subuh, bagaimana dengan solat sunat Dhuha?
J: Boleh solat selepas syuruk iaitu selepas waktu matahari terbit. Solat sunat Dhuha dilakukan setelah matahari tinggi segalah atau 28 minit selepas matahari terbit.

S: Bagaimana nak tidur dalam keadaan wudhuk sedangkan bersentuhan dengan suami selepas itu?
J: Dari segi hukum, memang batal, tetapi dari segi fadhilatnya tetap diberikan pahala kerana berusaha untuk mengikut sunnah Nabi SAW.

S: Kadang-kadang hati rasa ragu-ragu untuk membeli barang di pasar atau kedai, adakah itu satu bentuk petunjuk?
J: Terbaik adalah kerjakan solat istikharah, tetapi takut tak sempat. Oleh itu, kita perlu jaga solat agar Allah bantu kita melalui firasat atau rasa hati. Kebiasaannya isteri dan ibu mempunyai firasat hati yang lebih baik berbanding dengan orang lelaki. Tetapi pastikan firasat itu tidak membawa kepada buruk sangka.

S: Adakah satu solat istikharan untuk satu masalah saja atau boleh beberapa masalah?
J: Boleh untuk beberapa masalah sekaligus.

S: Jika kita mempunyai 2 pilihan tetapi masa terhad dan terpaksa membuat pilihan segera sebelum mendapat petunjuk. Setelah memilih, adakah kita masih perlukan melakukan solat istikharah sedangkan kita sudah membuat pilihan?
J: Jika kita masih ragu-ragu, boleh teruskan solat istikharah.

S: Apa pandangan ustaz bagi orang yang tidak sabar menunggu petunjuk setelah mengerjakan solat dan pergi berjumpa bomoh?
J: Semalam telah dibincangkan bahawa Allah sebut 2 kali agar kita bersabar dan mengerjakan solat. Oleh itu, jangan terburu-buru sehingga melakukan perbuatan yang Allah larang.

No comments:

Post a Comment